Tunaikan zakat emas anda!!!
Menunaikan zakat merupakan rukun Islam yang ke 4 yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang layak. Antara hikmah berzakat adalah dapat membersihkan diri dari dosa, membersihkan harta dan membantu mereka yang susah. Terdapat beberapa kategori zakat seperti zakat fitrah dan zakat harta namun untuk entry ini kita akan khususkan kepada zakat emas.
Kewajipan zakat emas dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan amaran ALLAH berkenaan siksa yang bakal diterima kepada mereka yang tidak menunaikan zakat emas disebutkan:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”. (At Taubah; ayat 34-35)
Zakat emas wajib ditunaikan apabila cukup syarat haul dan nisab. Haul merujuk kepada tempoh pemilikan emas secara sempurna yakni satu tahun. Manakala nisab adalah berat emas yang dimiliki dalam tempoh tersebut. Nisab emas adalah berbeza di antara negeri kerana ia ditentukan oleh u’ruf, iaitu nilai kebiasaan pemakaian setempat dan ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri. Zakat emas boleh dipecahkan kepada dua iaitu zakat emas yang dipakai dan zakat emas yang disimpan (tidak dipakai).
Kami akan lampirkan contoh pengiraan zakat dengan menggunakan nisab/u’ruf yang digunapakai di negeri Selangor bertarikh hari ini, 03 Jun 2011 oleh LZS/MAIS. Pengiraan juga berpandukan kepada online kalkulator yang disediakan oleh MAIWP.
Zakat emas dipakai
Segala jenis emas perhiasan yang cukup haul dan apabila nisab melebihi 800g. Emas tersebut mestilah dipakai sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh haul.
Sekiranya A mempunyai emas perhiasan seberat 1000g dan harga semasa untuk 1g emas adalah RM150, maka pengiraan zakat adalah seperti berikut:
[(Berat keseluruhan emas g – berat u’ruf g) x harga semasa RM/g] x 2.5%
(200g x RM150/g) x 2.5% = RM750.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)
Zakat emas yang disimpan / tidak dipakai
Semua jenis emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh 1 tahun, termasuklah emas jongkong, syiling emas dsb. Nisab untuk emas disimpan adalah 85g.
Sekiranya A mempunyai emas seberat 1000g dan harga semasa untuk 1g emas adalah RM150/g, maka pengiraan zakat adalah seperti berikut:
[(Berat keseluruhan emas g) x harga semasa RM/g] x 2.5%
(1000g x RM150/g) x 2.5% = RM3750.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)
Zakat perak
Segala bentuk perak samada perhiasan atau jongkong akan dikenakan zakat apabila cukup haul dan nisab iaitu 595g. Sekiranya A mempunyai perak seberat 1000g dan harga semasa adalah RM20/g maka zakat yang perlu dibayar seperti berikut:
[(Berat keseluruhan perak g) x harga semasa RM/g] x 2.5%
(1000g x RM20/g) x 2.5% = RM500.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)
Nilai u’ruf bagi negeri-negeri lain diberikan di bawah sebagaimana yang dinyatakan melalui Laporan Kajian Penetapan Uruf Emas Pakai Negeri Pahang 2008.
Kedah 170g
Perlis 170g
Pulau Pinang 165g
Melaka RM5000
Johor 85g
Negeri 9 200g
K. Lumpur 150g
Kelantan tiada uruf
Terengganu 120g
Pahang 200g
Perak 500g
Sabah RM5000
Sarawak 775g
Semoga artikel ini dapat membantu menganggar zakat emas anda, yang boleh ditunaikan di pejabat kutipan zakat negeri. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim untuk mengeluarkan zakat apabila cukup syaratnya. Gunakanlah ilmu ini sebaiknya dan jangan pula berhelah untuk mengelakkan zakat.
