Hafizjewel.com

We buy gold at the highest price Contact : 012-3349940 or 012-3358944


*Sebarang kesulitan untuk datang ke ofis kami? agen bergerak kami sedia ke tempat anda!

Entries for the ‘Artikel’ Category

Tunaikan zakat emas anda!!!

Menunaikan zakat merupakan rukun Islam yang ke 4 yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang layak. Antara hikmah berzakat adalah dapat membersihkan diri dari dosa, membersihkan harta dan membantu mereka yang susah. Terdapat beberapa kategori zakat seperti zakat fitrah dan zakat harta namun untuk entry ini kita akan khususkan kepada zakat emas.

Kewajipan zakat emas dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan amaran ALLAH berkenaan siksa yang bakal diterima kepada mereka yang tidak menunaikan zakat emas disebutkan:

“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”. (At Taubah; ayat 34-35)

Zakat emas wajib ditunaikan apabila cukup syarat haul dan nisab. Haul merujuk kepada tempoh pemilikan emas secara sempurna yakni satu tahun. Manakala nisab adalah berat emas yang dimiliki dalam tempoh tersebut. Nisab emas adalah berbeza di antara negeri kerana ia ditentukan oleh u’ruf, iaitu nilai kebiasaan pemakaian setempat dan ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri. Zakat emas boleh dipecahkan kepada dua iaitu zakat emas yang dipakai dan zakat emas yang disimpan (tidak dipakai).

Kami akan lampirkan contoh pengiraan zakat dengan menggunakan nisab/u’ruf yang digunapakai di negeri Selangor bertarikh hari ini, 03 Jun 2011 oleh LZS/MAIS. Pengiraan juga berpandukan kepada online kalkulator yang disediakan oleh MAIWP.

Zakat emas dipakai

Segala jenis emas perhiasan yang cukup haul dan apabila nisab melebihi 800g. Emas tersebut mestilah dipakai sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh haul.

Sekiranya A mempunyai emas perhiasan seberat 1000g dan harga semasa untuk 1g emas adalah RM150, maka pengiraan zakat adalah seperti berikut:

[(Berat keseluruhan emas g – berat u’ruf g) x harga semasa RM/g] x 2.5%

(200g x RM150/g) x 2.5% = RM750.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)

Zakat emas yang disimpan / tidak dipakai

Semua jenis emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh 1 tahun, termasuklah emas jongkong, syiling emas dsb. Nisab untuk emas disimpan adalah 85g.

Sekiranya A mempunyai emas seberat 1000g dan harga semasa untuk 1g emas adalah RM150/g, maka pengiraan zakat adalah seperti berikut:

[(Berat keseluruhan emas g) x harga semasa RM/g] x 2.5%

(1000g x RM150/g) x 2.5% = RM3750.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)

Zakat perak

Segala bentuk perak samada perhiasan atau jongkong akan dikenakan zakat apabila cukup haul dan nisab iaitu 595g. Sekiranya A mempunyai perak seberat 1000g dan harga semasa adalah RM20/g maka zakat yang perlu dibayar seperti berikut:

[(Berat keseluruhan perak g) x harga semasa RM/g] x 2.5%

(1000g x RM20/g) x 2.5% = RM500.00 (jumlah zakat yang perlu ditunaikan)

Nilai u’ruf bagi negeri-negeri lain diberikan di bawah sebagaimana yang dinyatakan melalui Laporan Kajian Penetapan Uruf Emas Pakai Negeri Pahang 2008.

Kedah 170g

Perlis 170g

Pulau Pinang 165g

Melaka RM5000

Johor 85g

Negeri 9 200g

K. Lumpur 150g

Kelantan tiada uruf

Terengganu 120g

Pahang 200g

Perak 500g

Sabah RM5000

Sarawak 775g

Semoga artikel ini dapat membantu menganggar zakat emas anda, yang boleh ditunaikan di pejabat kutipan zakat negeri. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim untuk mengeluarkan zakat apabila cukup syaratnya. Gunakanlah ilmu ini sebaiknya dan jangan pula berhelah untuk mengelakkan zakat.

    Pelaburan emas, mana satu pilihan anda?

    Berikutan harga emas yang semakin melonjak naik, ditambah dengan pendedahan dan maklumat yang mudah diperolehi melalui media, kini semakin ramai yang berminat untuk menjadikan emas sebagai suatu aset untuk tujuan pelaburan. Rekod menunjukkan harga emas adalah stabil, dan tidak terikat kepada kadar inflasi sesebuah negara. Ramai yang bertanya, apakah bentuk pelaburan emas yang terbaik? Secara prinsip, yang terbaik adalah membeli emas pada kadar terendah dan menjualnya semula pada harga yang tertinggi.

    Pelaburan emas, atau secara mudahnya menyimpan emas tidak dapat disangkal lagi mampu memberikan pulangan yang lumayan untuk suatu tempoh yang panjang. Sebagai contoh Emas 24K pada tahun 2000 lebih kurang RM40/g tapi hari ini RM177/g. Sekalipun anda tidak melaburkan emas tersebut , memadai dengan hanya menyimpannya dengan baik sudah menguntungkan kerana emas sendiri adalah penyimpan nilai kewangan yang kukuh. Menyimpan emas boleh dilakukan samada secara emas fizikal ataupun dengan membuat simpanan emas di bank seperti GIA, GSPA dan gold certificates. Jadual ringkas berikut disediakan untuk menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua kategori tersebut:

    Emas Fizikal Simpanan Emas di Bank
    Emas disimpan dalam bentuk fizikal, kata orang alah membeli menang memakai Emas dibeli dalam bentuk saving/investment account dengan baki minimum setiap masa
    Kepelbagaian dalam design dan boleh dijadikan perhiasan Tiada kepelbagaian rekabentuk, untuk pelaburan semata-mata
    Mudah dijual secara tunai pada bila-bila masa Mudah dijual dalam waktu urusniaga bank
    Emas boleh dipajakgadai / al Rahnu sekiranya memerlukan tunai dalam masa yang sama tidak kehilangan aset emas Tidak boleh digadaikan. Sekiranya memerlukan tunai, aset emas perlu dijual
    Risiko – kehilangan dan kecurian Simpanan emas terjamin
    Kadar susut nilai (spread) tinggi disebabkan harga belian termasuk kos upah Kadar jualan semula lebih tinggi mengikut harga live-rate (hanya caj bank dikenakan)

    Dalam pasaran Malaysia, emas fizikal dikategorikan kepada dua iaitu emas perhiasan dan emas jongkong. Emas perhiasan termasuklah cincin, gelang , rantai dan sebagainya manakala emas jongkong berupa gold bar dan gold coin. Ada pelanggan kami yang berminat dengan emas perhiasan, namun ada juga yang memilih emas jongkong sebagai simpanan. Kami sertakan sedikit perbandingan antara keduanya:

    Emas Perhiasan Emas Jongkong (gold coin / gold bar)
    Kepelbagaian rekabentuk Rekabentuk yang terhad
    Cantik dan mudah dibawa ke mana-mana. Sesuai digayakan sebagai perhiasan Hanya sesuai untuk pelaburan semata-mata
    Kadar upah dikenakan mengikut rekabentuk Tiada upah dikenakan, hanya berdasarkan berat
    Mudah dijual semula dan dipajak di mana-mana pajak gadai atau bank al Rahnu Mudah dijual semula. Mudah dipajak di pajak gadai konvensional. Bank al Rahnu tidak lagi menerima pajakan emas jongkong
    Kepelbagaian kualiti dan harga, modal bergantung kepada kemampuan kewangan individu Memerlukan modal yang agak tinggi
    Ketulenan emas berbeza bergantung pada rekabentuk. Sekiranya jenis ‘kosong’ mutu emas biasanya tidak dapat dinilai dengan tepat Ketulenan emas jongkong dapat dinilai dengan tepat
    Di Selangor, zakat perlu dibayar apabila cukup haul apabila melebihi 800g Di Selangor, zakat perlu dibayar apabila cukup haul dan melebihi 85g
    Mindset kebanyakan penyimpan emas; emas perhiasan biasanya lebih dihargai dan disimpan lebih lama. Secara tidak langsung emas tersebut menjadi pelindung kekayaan dan akhirnya mendapat pulangan yang berlipat kali ganda Mindset kebanyakan pelabur emas; emas jongkong biasanya dijual semula apabila harga telah mencapai target keuntungan, sekaligus tidak memaksimumkan pulangan. Dalam masa yang sama setelah emas tersebut dijual, harga belian semula sudah lebih tinggi

    Tepuk dada tanyalah selera, terpulanglah pada anda untuk menyimpan emas secara mana. Teruslah menyimpan emas hari ini untuk masa hadapan. Namun perlu kita berhati-hati kerana akhir-akhir ini banyak kita dengar skim pelaburan emas yang tidak patuh syariah dan melanggar akta kewangan. Ada juga syarikat yang ditutup dan disenaraihitam oleh Bank Negara Malaysia.

    Semoga anda mendapat manfaat dari post kali ini. Kami akan cuba menyedikan artikel lengkap berkenaan perihal zakat emas dan jual beli emas menurut Islam untuk panduan semua dalam sedikit masa lagi.

    Hebahan umum

    Kepada semua rakan-rakan sekalian, sukacita kami maklumkan sekali lagi berkenaan majlis makan tengahari sempena Hari Ibu dan Ayah di Restoran Sri Melayu pada esok, Sabtu 07/05/2011. Tetamu bertuah bakal memenangi pelbagai hadiah menarik yg disediakan di majlis tersebut. Hafiz Jewel akan menaja hadiah berbentuk barangan kemas berjumlah RM15000 dalam bentuk cincin berlian dan sebagainya. Maklumat penuh berkenaan majlis berkenaan boleh anda perolehi di post kami sebelum ini dan website Restoran Sri Melayu. Datanglah beramai-ramai bersama keluarga !!!

    Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengajak rakan-rakan yang berkelapangan untuk hadir ke Konvensyen Kewangan Islam 2011 yang akan diadakan di Masjid Shah Alam. Seminar ini akan membincangkan antaranya soal riba di dalam urusan jual beli emas dan perak. Adalah menjadi objektif Hafiz Jewel untuk menjadi sebuah syarikat yang menjalankan urusniaga jual-beli emas secara syariah compliance keseluruhannya. Insya ALLAH.

    Menilai Ketulenan Emas

    Artikel ini disediakan bagi membantu menjawab persoalan pelanggan-pelanggan kami berkenaan kaedah menguji ketulenan emas. Kami akan terangkan beberapa perkara asas yang penting sebagai panduan. Umumnya, emas tulen berwarna kuning terang berkilat, lembut dan padu. Emas secara semulajadi berbentuk butiran dan nugget di celahan batu, tanah dan sebagainya. Kualiti emas semulajadi berbeza-beza di antara satu tempat dengan tempat yang lain bergantung kepada kandungan logam asing di dalamnya. Ketulan emas ini kemudiannya dilebur dan dibentuk samada untuk perhiasan atau simpanan (jongkong). Pencampuran dengan logam lain semasa proses peleburan juga mengurangkan nilai ketulenan emas.
    Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menilai ketulenan emas, iaitu:
    1) Densimeter
    2) Ujian asid
    3) Ujian secara fizikal

    Gold Densimeter
    Densimeter merupakan kaedah terbaik yang dapat memberikan nilaian dgn tepat, kosnya agak tinggi berbanding kaedah lain kerana menggunakan peralatan moden termasuklah penimbang elektronik. Biasanya hanya bank-bank pajakan seperti AgroBank dan Bank Rakyat sahaja menggunakan peralatan ini. Prinsip asas densimeter adalah mengukur ketumpatan emas, di mana ketumpatan emas tulen pada suhu bilik ialah 19.3g/cm3. Dengan menggunakan prinsip Archemedes dan teori ketumpatan jisim, ketumpatan sesuatu emas dapat dinilai. Perlu diingat kaedah ini dapat memberikan bacaan yang jitu untuk emas jongkong dan emas dalam bentuk padu sahaja. Ketulenan emas dalam bentuk barangan perhiasan emas tidak boleh dinilai dengan tepat kerana terdapat banyak ralat yg mengangganggu bacaan.

    Ujian Asid
    Ujian ini merupakan kaedah yang paling popular dan belanjanya juga tidak mahal. Peralatan yang diperlukan termasuklah batu hitam , asid nitric dan asid hydrocloric yang disukat pada pH yang betul. Kaedah ini sangat sesuai untuk menentukan kualiti emas dalam bentuk barangan perhiasan. Permukaan barangan emas digosok pada batu hitam akan meninggalkan kesan kuning, dan seterusnya diuji menggunakan kedua-dua asid. Perlu diingat setiap jenis emas akan memberikan kesan warna kuning yang berlainan pada batu hitam. Secara umumnya, semakin tinggi kualiti sesuatu emas, warna kuningnya akan semakin terang. Warna kuning pada emas yang kurang mutunya juga mudah luntur apabila dikenakan ujian asid berbanding emas yang berkualiti tinggi.

    Ujian fizikal
    Kata orang “Hanya jauhari yang mengenal manikam” sangat sesuai untuk menggambarkan kaedah ini. Hanya mereka yang berpengalaman dan telah lama dalam bidang ini dapat menentukan ketulenan emas secara fizikal dengan hanya mata kasar. Ini termasuklah berdasarkan cop pada emas tersebut, warna, berat dan kelembutan.

    Pengenalan: Kategori Emas, Perak dan Platinum

    Emas, perak dan kumpulan platinum dikategorikan sebagai logam berharga @ ‘precious metal’ yang merujuk kepada harga dan permintaan yg tinggi, selain sukar diperolehi. Secara sejarah, sejak zaman dahulu logam-logam ini telah digunakan sebagai matawang dalam urusniaga. Pada masa kini, selain dari digunakan dalam industri pembuatan, logam berharga juga diminati sebagai barangan kemas, pameran kesenian dan aset pelaburan.

    Logam berharga ini dibahagikan kepada beberapa jenis menurut ketulenan yg diukur dalam unit millesimal fineness, iaitu unit bahagian perseribu oleh jisim bahan logam terbabit [1]. Sebagai contoh sekiranya logam tersebut mengandungi 85% emas, ia akan dinamakan sebagai “emas 850”.

    Emas

    Emas (gold, aurum) merupakan logam yg paling berharga masa kini. Selain sistem millesimal fineness, ketulenan emas turut boleh dikategorikan mengikut unit karat (K) di mana 24K adalah merujuk kepada emas tulen [2]. Emas tulen juga boleh dirujuk sebagai kandungan emas sebanyak 99.9% atau “emas 999” (millesimal fineness). Jadual dibawah disertakan untuk memudahkan pembacaan, dihasilkan berdasarkan kajian dan pengalaman kami sepanjang berurusan di dalam bidang ini.

    Unit Karat (K) Unit perseribu jisim emas (‰) Peratus kandungan emas (%) Nama popular di Malaysia
    24K Emas 999 99.9 Emas 10
    23.16K Emas 965 96.5 Emas Thailand
    22.8K Emas 950 95.0
    22K Emas 916 91.6 Emas Singapura
    21.6K Emas 900 90.0 Emas Kelantan
    21K Emas 875 87.5 Emas Arab
    20.4K Emas 850 85.0
    20K Emas 835 83.3 Emas Batu Pahat
    19K Emas 790 79.0 Emas Paun
    18K Emas 750 75.0
    16.8K Emas 700 70.0 Emas Indonesia
    14K Emas 585 58.5 Emas campur, emas 9
    12K Emas 500 50.0 Emas Indonesia
    10K Emas 416 41.6
    9K Emas 375 37.5 Suasa

    Walaubagaimanapun di pasaran Malaysia, jenis emas yang biasa kita temui adalah emas 999, 916, 835, 750, 585 dan suasa. Secara umumnya emas tulen berwarna kuning, namun terdapat juga emas berwarna lain. Rose gold dihasilkan dengan mencampurkan tembaga dan perak ke dalam emas, manakala emas putih terhasil dengan pencampuran emas dan palladium.

    Perak

    Perak atau silver, argentum merupakan logam kedua paling diminati di Malaysia. Ketulenan perak dikategorikan mengikut sistem millesimal fineness bermula dari 750 sehingga 999, di mana 999 adalah perak tulen [3]. Walau bagaimanapun di Malaysia kita biasa menemui perak 925 dalam bentuk perhiasan, dan perak 999 dalam bentuk jongkong.

    Platinum

    Platinum merupakan salah satu unsur dalam kumpulan platinum yg juga terdiri dari rutherium, rhodium, palladium, osmium dan iridium [4]. Platinum dikategorikan dari 850 hingga 999 (platinum tulen) menurut millesimal fineness. Di Malaysia, kita biasa menemui platinum 950 dalam bentuk perhiasan.

    Rujukan:

    [1] http://en.wikipedia.org/wiki/Millesimal_fineness

    [2] http://en.wikipedia.org/wiki/Carat_%28purity%29

    [3] http://en.wikipedia.org/wiki/Silver

    [4] http://en.wikipedia.org/wiki/Platinum_group

    Related Posts with Thumbnails
    • Page 1 of 2
    • 1
    • 2
    • >






    New Lelong Item..

  • Kemaskini: Lelongan siri 6 Cincin Emas CZ1217
    Terima kasih atas sokongan... 
    • Kategori carian

    • Networked blogs

    • Meta

    Cara Pembayaran

    • (A) Bayaran melalui Maybank
    • No Akaun: 562263020423
    • Nama Akaun: Hafiz Gold
  • (B) Bayaran melalui CIMB
  • No Akaun: 12370000736108
  • Nama Akaun: Hafiz Jewel
  • *setelah transaksi dilakukan sila sms kami, sila maklumkan kepada kami dgn segera