Artikel ini disediakan bagi membantu menjawab persoalan pelanggan-pelanggan kami berkenaan kaedah menguji ketulenan emas. Kami akan terangkan beberapa perkara asas yang penting sebagai panduan. Umumnya, emas tulen berwarna kuning terang berkilat, lembut dan padu. Emas secara semulajadi berbentuk butiran dan nugget di celahan batu, tanah dan sebagainya. Kualiti emas semulajadi berbeza-beza di antara satu tempat dengan tempat yang lain bergantung kepada kandungan logam asing di dalamnya. Ketulan emas ini kemudiannya dilebur dan dibentuk samada untuk perhiasan atau simpanan (jongkong). Pencampuran dengan logam lain semasa proses peleburan juga mengurangkan nilai ketulenan emas.
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menilai ketulenan emas, iaitu:
1) Densimeter
2) Ujian asid
3) Ujian secara fizikal

Gold Densimeter
Densimeter merupakan kaedah terbaik yang dapat memberikan nilaian dgn tepat, kosnya agak tinggi berbanding kaedah lain kerana menggunakan peralatan moden termasuklah penimbang elektronik. Biasanya hanya bank-bank pajakan seperti AgroBank dan Bank Rakyat sahaja menggunakan peralatan ini. Prinsip asas densimeter adalah mengukur ketumpatan emas, di mana ketumpatan emas tulen pada suhu bilik ialah 19.3g/cm3. Dengan menggunakan prinsip Archemedes dan teori ketumpatan jisim, ketumpatan sesuatu emas dapat dinilai. Perlu diingat kaedah ini dapat memberikan bacaan yang jitu untuk emas jongkong dan emas dalam bentuk padu sahaja. Ketulenan emas dalam bentuk barangan perhiasan emas tidak boleh dinilai dengan tepat kerana terdapat banyak ralat yg mengangganggu bacaan.

Ujian Asid
Ujian ini merupakan kaedah yang paling popular dan belanjanya juga tidak mahal. Peralatan yang diperlukan termasuklah batu hitam , asid nitric dan asid hydrocloric yang disukat pada pH yang betul. Kaedah ini sangat sesuai untuk menentukan kualiti emas dalam bentuk barangan perhiasan. Permukaan barangan emas digosok pada batu hitam akan meninggalkan kesan kuning, dan seterusnya diuji menggunakan kedua-dua asid. Perlu diingat setiap jenis emas akan memberikan kesan warna kuning yang berlainan pada batu hitam. Secara umumnya, semakin tinggi kualiti sesuatu emas, warna kuningnya akan semakin terang. Warna kuning pada emas yang kurang mutunya juga mudah luntur apabila dikenakan ujian asid berbanding emas yang berkualiti tinggi.

Ujian fizikal
Kata orang “Hanya jauhari yang mengenal manikam” sangat sesuai untuk menggambarkan kaedah ini. Hanya mereka yang berpengalaman dan telah lama dalam bidang ini dapat menentukan ketulenan emas secara fizikal dengan hanya mata kasar. Ini termasuklah berdasarkan cop pada emas tersebut, warna, berat dan kelembutan.

Related Posts with Thumbnails